jump to navigation

Muhammad s.a.w.: Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman Julai 3, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Muhammad S.A.W, Perjuangan.
trackback

Oleh Sdr. Muddin Beting
Yang Dipertua ABIM Sabah

Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. mendapat ejekan daripada Abu Jahal, Abu Lahab, Al-`As bin Wa`il, Uqbah bin Abi Mu`ith dan lain-lain bahawa Baginda akan terputus keturunan kerana semua anak lelaki Baginda meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka berkata, “Biarkanlah dia. Dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki. Dan perjuangannya tidak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”.

Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:

Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.

Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papan tulis belum tercatat,
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.

Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat
Dalam diriku semua terlibat.

(Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin)

Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. mendapat ejekan daripada Abu Jahal, Abu Lahab, Al-`As bin Wa`il, Uqbah bin Abi Mu`ith dan lain-lain bahawa Baginda akan terputus keturunan kerana semua anak lelaki Baginda meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka berkata, “Biarkanlah dia. Dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki. Dan perjuangannya tidak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”.

Utusan Terakhir

Tipu daya kecil mereka memberi kesan sedikit sebanyak, menusuk hati dan membuatkan Baginda berasa sedih. Arab Quraisy sememangnya amat bermegah dengan anak yang banyak lebih-lebih jika anak lelaki.

Namun telahan mereka meleset sama sekali. Mereka memikirkan Baginda sebarangan orang, sama seperti tokoh-tokoh dan pemuka Quraisy yang lain. Hakikatnya, hingga kini Baginda sentiasa diingati, bukan sahaja sewaktu awal kewafatannya bahkan hingga ke akhir zaman.

Berjuta lidah sentiasa menyebut dan menyeru namanya tanpa henti di sepanjang longitud bumi, berjuta manusia bersilih ganti menuruti sunnahnya, dan berjuta hati sentiasa mencintainya di seluruh pelusuk dunia. Baginda sentiasa diberi ucapan salawat dan salam oleh Allah subhanahu wa ta`ala, para malaikat dan oleh kaum muslimin. Kaum muslimin mengingati dan menyebut nama Baginda lebih kerap daripada menyebut dan mengingati nama ibu bapa sendiri.

Baginda diingati kerana Baginda Nabi Allah, penghulu dan penutup segala nabi dan rasul terdahulu sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s, kekasih Allah dan kekasih malaikat. Bagindalah satu-satunya insan teladan yang dapat dijadikan panduan dan ikutan dalam serba-serbi lapisan dan lapangan kehidupan. Beriman kepada Allah tidak lengkap tanpa beriman kepada Baginda kerana Bagindalah yang menyampaikan perintah Allah.

Nama baginda sentiasa seiring dengan nama Allah dalam kalimah shahadat. Seseorang yang beriman dengan Allah tetapi menolak kerasulan Baginda, sama ada menolak sepenuh atau sebahagian daripada ajarannya, adalah kufur. Pengakuan dan penyaksian kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang membezakan kaum muslimin dengan penganut-penganut agama lain.

Usaha Meruntuhkan Wibawa

Betapapun begitu, musuh-musuh Islam sejak dulu hingga kini, baik secara langsung mahupun melalui wakil mereka dari kalangan kaum muslimin sendiri, dengan segala tipu daya tetap berusaha menggugat dan meruntuhkan wibawa Baginda. Pertama, dari segi autoriti al-Qur`an itu sendiri bahawa kitab itu adalah rekaan Baginda, atau bukan wahyu Allah sepenuhnya tetapi mengalami pencairan atau menempuh perubahan atas sifat Baginda sebagai insan biasa. Kedua, dari segi akhlak Nabi. Ketiga, dari segi periwayatan hadis yang sampai kepada kita, bahawasanya ia mengikut hawa nafsu para sahabat, tabi`in dan ulama yang juga manusia biasa dan bisa melakukan kesilapan.

Cubaan pertama musuh-musuh Islam itu telah dijawab secara tuntas oleh ulama sejak awal lagi. Kalaulah benar dakwaan bahawa Baginda mereka-reka al-Qur`an, bagaimana mungkin seorang insan ummi (tidak pandai menulis dan membaca) yang terkenal dengan gelar al-Amin (amanah) sebelum diangkat menjadi Rasul, boleh mengarang karya sehebat itu walhal Baginda tidak pernah dikenali sebagai penyair. Tidak mungkin seorang manusia yang mengalami perubahan usia, emosi dan kematangan boleh mengekalkan sifat ayat-ayat al-Qur`an yang, meskipun tidak berkesinambungan, tetapi menyentuh dan berbicara tentang pelbagai tema secara konsisten dan selaras dalam tempoh 23 tahun.

Baginda sentiasa mensucikan Kitab Suci ini dengan memulai bacaan dengan memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan. Baginda sentiasa berulang kali membaca al-Qur`an ketika di khalayak ramai dan ketika bersendirian sebagai sumber petunjuk dan kekuatan tanpa jemu dan letih, sesuatu yang mustahil jika al-Qur`an karangan sendiri kerana biasanya penulis cepat muak membaca karya sendiri. Bahkan Allah s.w.t. sendiri menempelak dan mencabar mereka yang meragui kekudusan al-Qur`an agar menghasilkan sepuluh surah (Hud: 13), atau satu surah semisalnya (al-Baqarah: 23 dan Yunus: 38), dengan bantuan seluruh insan dan jin.

Sungguh benarlah apa yang disampaikan Baginda itu kalam Allah s.w.t. tanpa sedikit pun pengurangan atau tokok-tambah atau pencairan sebagaimana ditohmahkan oleh golongan orientalis dan modernis. Allah s.w.t. sendiri memperakui bahawa apa-apa yang disampaikan Baginda adalah wahyu lewat firman-Nya: “Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsu. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (an-Najm: 2-3)

Dari sudut akhlak, akhlak Baginda adalah jelmaan daripada al-Qur`an seperti diperhati dan diakui oleh isteri Baginda, `Aisyah r.a.. Tiada sebarang percanggahan antara kehidupan umum dan kehidupan peribadi Baginda. Sahabat-sahabat yang hidup sezaman dengan Baginda tidak seorang pun pernah mencemuh akhlak Baginda, sama ada sebelum ataupun selepas Baginda diangkat menjadi Rasul, seperti yang dilakukan oleh mereka yang keliru yang hidup terkemudian.

Malah Allah Yang Maha Tinggi memberi pengiktirafan paling tinggi apabila memuji Baginda dengan pujian: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memiliki akhlak yang agung” (al-Qalam: 4), bersesuaian sekali dengan misi Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia dalam kalangan manusia.

Dalam soal keraguan terhadap hadis yang tiba kepada kaum muslimin hari ini, hakikatnya hadis-hadis telah dikumpul dengan penuh sistematik oleh orang berwibawa. Bahkan Baginda sendiri dan para sahabat karib mengeluarkan banyak kenyataan dan mengambil tindakan bagi mempastikan bahawa al-Qur`an dan al-Hadis tidak bercampur-baur.

Tradisi ini diwarisi para tabi`in dan pengikut mereka, seterusnya berlanjutan kepada enam ulama hadis, iaitu: Imam Bukhari, Imam Muslim, al-Nasai, Abu Daud, al-Tarmizi dan Ibn Majah.

Ada juga segolongan kecil daripada kaum muslimin terkeliru dengan sabda Baginda: “Sesungguhnya aku manusia seperti kamu juga” lalu mereka melihat Baginda sebagai entiti fizikal, makhluk biologi (basyari) seperti manusia biasa yang lain, sama seperti anggapan kafir Quraisy tadi, dan sama juga sebagaimana Iblis melihat Adam dari aspek fizikal semata-mata. Walhal Baginda berkata begitu kepada orang-orang yang tidak beriman bagi menafikan tanggapan mereka bahawa Baginda adalah Tuhan lantaran segala kata yang diucapkan amat luar biasa sekali.

Dalil al-Qur`an, serta hujah sejarah dan psikologi yang dapat diterima oleh akal yang sihat ini membawa kepada kefahaman penting bahawa Junjungan Besar Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam adalah Utusan Terakhir yang memiliki wibawa yang terpelihara dan tidak dapat diganggu-gugat apatah lagi diruntuhkan. Reaksi balas spontan kaum muslimin terhadap sebarang percubaan menghina kemuliaan Baginda yang berpunca daripada kejahilan, iri hati, dendam kesumat dan provokasi liar menunjukkan betapa cinta, kasih, hormat dan dekatnya mereka kepada Baginda.

Teladan par excellence

Sehubungan dengan ini, kaum muslimin adalah paling bertuah kerana mempunyai role model yang terbukti paling unggul. Sudah menjadi tabiat semula jadi insan suka meniru atau mencontohi orang lain. Dengan erti kata lain, insan hidup dengan model. Model pilihan mempengaruhi corak kehidupan seseorang kerana model itulah yang mengisi acuan idealismenya. Sekurang-kurang contoh tauladan mempunyai ciri-ciri terpuji dan menonjol dalam tiga aspek, iaitu: keilmuan, ketrampilan dan akhlak.

Sejarah mencatatkan bahawa penghormatan para sahabat terhadap Baginda amat tinggi. Dalam satu peristiwa, misalnya, seorang sahabat sengaja mencari helah untuk mencium perut Baginda sebelum berperang, dengan berkata: “Sekiranya saya terbunuh dalam peperangan ini, saya berpuas hati kerana sekurang-kurangnya saya sudah menyentuh Engkau, ya Rasul Allah”.

Di tempat lain dicatatkan bahawa bekas makanan Baginda disimpan, demikian juga kuku, janggut dan segala pakaian dan peralatannya. Belum pernah ada mana-mana tokoh sepanjang sejarah di muka bumi dilayan sebegitu tinggi seperti Baginda. Baginda sungguh diagungkan oleh para sahabat tetapi tidak pun diangkat sebagai Tuhan.

Hal ini berlaku kerana meskipun jasad Baginda berbentuk basyari, Baginda makan dan minum, berkahwin dan tidur seperti insan-insan lain, namun makam rohani Baginda terlalu tinggi tidak terperi. Untuk mencapai makam setinggi begitu, tentulah memerlukan persiapan luar biasa. Mana mungkin rohani biasa mampu menerima sesuatu yang mengandung bawaan yang berat seperti wahyu, sedangkan jika al-Qur`an diturunkan ke atas gunung, pastilah gunung akan tunduk hancur berkecai kerana takut kepada Allah (al-Hasyr: 21).

Sedangkan untuk membuat penaakulan terhadap hukum graviti itu pun, yang kini disifatkan sebagai penemuan terhebat, Newton harus mempersiapkan diri yang bukan kepalang. Demikian juga dengan Archimides dan Prinsip Ketumpatannya. Kedua-duanya tidak mungkin secara tiba-tiba memahami hukum dan prinsip tanpa persiapan awal. Tetapi apa yang ditemui mereka tidaklah mencapai taraf wahyu. Akal yang rasional dapat membuat perbandingan betapa hebatnya persediaan rohani Baginda menerima wahyu itu.

Baginda adalah sebaik-baik contoh teladan (uswatun hasanah) bagi sekalian bangsa manusia, sebaik-baik ikutan kerana baginda juga adalah sebaik-baik makhluk. Insan tanpa mengira usia, baik kanak-kanak, orang dewasa, orang tua, lelaki, perempuan, yang bujang mahupun yang sudah berkahwin, semuanya mengambil Baginda sebagai ikutan.

Hal ini dapat disaksikan sejak Baginda masih hidup lagi. Semasa menyambut ketibaan Baginda di Yathrib dalam peristiwa Hijrah, semua peringkat umur berkumpul menunggu dengan penuh sabar dan debar, bersama-sama menyanyikan lagu segar sepanjang zaman “thala `al badru `alayna ….(telah terbit bulan purnama ke atas kami …).”

Dalam menyiapkan angkatan perang ketika mempertahankan diri atau menyerang musuh, anak dan bapa, suami dan isteri, bersedia dan bersatu dalam pimpinan Baginda.

Baginda adalah contoh teladan unggul bagi wanita muslim, bukannya Fatimah atau `Aishah. Dalam satu kisah, seorang remaja wanita sanggup menyanggah anjuran ibunya agar tidak mencairkan susu sekali pun tiada siapa yang nampak. Bagi remaja muslim, contoh teladan haruslah Baginda, bukan Ali atau Fatimah. Dengan mengambil Baginda sebagai contoh teladan, nescaya kaum muslimin berpotensi mencapai piawaian Ali atau Fatimah atau `Aishah. Jika Ali, Fatimah, `Aishah atau sahabat lain dijadikan model, piawaian yang dicapai mungkin lebih rendah daripada itu. Ali, Fatimah dan `Aishah hanya dijadikan rujukan untuk melihat bagaimana mereka mencontohi Baginda.

Pembentuk Identiti

Terbukti Bagindalah yang memberi identiti kepada masyarakat Islam, tanpa mengira suku kaum, keturunan, warna kulit atau bahasa lalu membentuk identiti umat Islam. Dalam mana-mana masyarakat, terdapat tiga golongan yang kerap kali saling berkonflik antara satu sama lain, iaitu: remaja–belia, dewasa dan tua.

Dalam masyarakat Barat khususnya, golongan dewasa tidak mampu memimpin remaja-belia untuk mencontohi role model yang baik pada pandangan mereka kerana mereka suatu ketika dahulu juga pernah menuntut kebebasan dalam memilih role model. Masyarakat Barat sukar mencapai kesepakatan memilih satu role model untuk semua kerana masing-masing mempunyai idola sendiri. Mereka juga sentiasa mencari-cari role model sebenar yang mampu diteladani dalam aspek keilmuan, ketrampilan dan akhlak.

Sebaliknya, dalam masyarakat Islam, semua orang, baik remaja–belia, dewasa mahupun tua, mencontohi orang yang sama. Oleh itu tidak berlaku jurang antara generasi atau apa yang kini dikenali sebagai krisis identiti.

Banyak tokoh dan pemuka masyarakat Barat yang kelihatan seolah-olah layak menjadi role model dipertikaikan oleh ahli masyarakat mereka sendiri kerana tidak memiliki integriti, moral yang kacau-bilau, dan moral serta penampilan kehidupan awam yang amat kontradik dengan perwatakan sebenar.

Paul Johnson dalam `Intellectuals’ telah menjelaskan secara terperinci kehidupan dan karektor sebenar pemikir dan ilmuwan terkenal masyarakat Barat, contohnya Jean Jacques Rousseau (penulis buku Emily yang dianggap buku pendidikan yang terkenal), Ernest Hemingway (novelis terkenal Amerika Syarikat), Leo Tolstoy (novelis terkenal Russia), Bertrand Russel (ahli falsafah terkenal) yang rata-rata filsafat mereka sahaja nampak cantik, tetapi ilmu dan amalan mereka berlawanan sekali dengan filsafat mereka.

Dari satu sudut lain, golongan yang mereka gelar ‘bintang’, seperti artis, ahli sukan dan sebilangan politikus, secara terang-terangan mendedahkan jiwa mereka yang kosong lagi hampa. Hal ini telah disebut dalam konteksnya dengan tepat sekali oleh Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna.

Justeru, Michael H. Hart ternyata benar apabila secara jujur memilih Muhammad bin Abdullah sebagai pilihan pertama dalam The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History, walaupun pada hakikatnya, Nabi Muhammad tidak wajar sama sekali diletakkan sekelas dengan para ahli teologi, pemimpin, ilmuwan, saintis atau aktivis mengikut ukuran manusiawi.

Umpama Pasak Bumi

Baginda adalah umpama gunung yang mengakar kukuh dan kuat, menjadi pasak bumi dan mengikat sekelilingnya, yakni kaum muslimin, menjadi padu dan satu. Jika autoriti Baginda diserang dengan penuh helah dan tipu-daya oleh para orientalis dan pengikut mereka atas nama ahlul-Quran, gerakan feminisme, golongan modernis, orientalis atau gerakan penilaian semula hadis, maka lagak mereka laksana kerakusan golongan pemusnah pasak dan perosak alam sekitar yang, jika dibiarkan, akan membawa akibat jauh lebih buruk kepada jiwa kaum muslimin berbanding kerosakan alam sekitar semata-mata.

Dari Buaian ke Liang Lahad

Demikian peri pentingnya Baginda dalam kehidupan kaum muslimin, lantaran Baginda sendiri adalah sumber ilmu, maka sudah menjadi kewajipan setiap muslim mempelajari dan memahami sejarah dan ajaran Baginda, malah mengenali Baginda secara mesra. Mesra dalam hal ini merujuk kepada dekat, atau hampir, biarpun tidak pernah bersua muka.

Kanak-kanak yang sedang tumbuh membesar wajar sekali didedahkan dengan sejarah dan akhlak Baginda, sama ada secara formal ataupun tidak formal, sebagai lanjutan dari laungan azan, iqamat dan berzanji. Kanak-kanak perlu diajar sejumlah hadis, terutamanya yang berkaitan soal keutamaan ilmu dan akhlak mulia.

Salah satu pendekatan kreatif dalam rangka mendekatkan kanak-kanak dengan sejarah dan ajaran Baginda ialah menerusi filem animasi “Muhammad: The Last Prophet”. Tayangan Amal Perdana filem ini telah dibuat pada tahun 2004 di Ibu Negara dan di negeri-negeri di Malaysia sempena Majlis Sambutan Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri-negeri. Filem yang sudah dialihbahasakan ini harus dimiliki setiap keluarga di Negara ini sebagai salah satu kaedah pendidikan dalam keluarga.

Usaha memahami konsep kerasulan ini seterusnya dilanjutkan lagi pada peringkat dewasa dan usia lanjut menerusi pengajian ilmu al-Hadis dan segala implikasinya dalam realiti kehidupan masa kini, secara berterusan, misalnya, melalui usrah (study circle). Memahami konsep kerasulan dan kenabian harus berlaku bersekali dengan memahami konsep-konsep penting seperti konsep Tuhan, al-Qur’an, insan, ilmu, akhlak dan kebahagiaan.

Konsep-konsep ini adalah perkara pokok dalam membina kerangka berfikir muslim yang jelas dan mantap serta mempunyai pandangan alam Islam. Dengan pendidikan begini, kaum muslimin akan sentiasa berasa dekat dan mesra dengan Baginda sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Baginda sebagai model operasi yang boleh dijelmakan dalam diri. Allahumma salli `ala sayyidina Muhammad wa `ala alihi wa ashabihi wa sallim.

Komentar»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: