jump to navigation

Berhati-Hati Mencari Pasangan Jun 4, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Cinta, Perkahwinan.
add a comment

Oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Baik lelaki mahupun wanita pasti mencari pasangan yang ideal dan sesuai bagi menjadi teman hidup hingga akhir hayat. Menjadi keutamaan untuk mencari yang terbaik bagi diri kita dan ia memerlukan panduan membuat keputusan. Maka dalam kita berusaha mencari pasangan yang sesuai, kita tidak lari daripada realiti kewujudan individu yang mencari cinta bukan dengan matlamat jelas. (selanjutnya…)

Membina Personaliti Sebagai Pemimpin Jun 4, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Cara Hidup, Pengurusan Diri.
add a comment

Oleh PTS Publicationa & Distributors Sdn.Bhd.

Seorang pemimpin tidak akan berjaya menjadi pemimpin yang berkaliber sekiranya dia tidak membina dirinya dengan sifat-sifat kepimpinan. Pemimpin itu sendiri yang mesti membentuk dirinya menjadi pemimpin. Seorang individu agak sulit untuk menjadi pemimpin sekiranya dia memiliki sifat-sifat berikut:

1. Mementingkan diri sendiri
Orang yang begini menganggap ‘status lebih penting dari jenis pekerjaan’

2. Berlengah-lengah
Orang yang suka melambat-lambat atau menangguh-kan kerja, orang-orang begini akan sentiasa memberi pelbagai alasan untuk melengahkan kerja atau untuk mengambil keputusan.

3. Kebiasaan yang sukar diubati (status quo)
Orang yang berfikir bahawa kebiasaan-kebiasaan yang sukar hendak diubati adalah suatu yang biasa. Sikap mi boleh menjadi pendorong utama kepada kegagalan.

4. Mengingati kisah-kisah lalu
Mereka yang sentiasa hidup dalam kejayaan masa lalu akan tinggal dalam angan-angan untuk memperoleh kembali keadaan seperti itu semula.

Kalau anda mahu melatih diri untuk menjadi pemimpin anda mestilah:

1. Sanggup melakukan apa yang anda ingin lakukan.
Untuk melatih diri jadi pemimpin cuba tidak ter-pengaruh dengan keputusan majoriti. Orang yang suka pada keputusan majoriti biasanya akan memuaskan orang lain dan kadang-kadang terpaksa mengenepikan diri sendiri. Untuk melatih diri menjadi pemimpin anda tidak seharusnya terikat dengan keputusan pemimpin. Ada masanya idea yang ditentang oleh majoriti ada kebaikannya. Orang yang berhasrat untuk menjadi pemimpin perlu dapat melihat kebaikan dari idea yang ditentang.

2. Sanggup cuba membentuk personaliti walaupun sulit.
Orang yang ingin jadi pemimpin perlu bercita-cita tinggi untuk jadi pemimpin. Perlu memilih azam yang kuat dan mengamalkan sikap bekerja kuat. Semangat mendorong diri sendiri harus datang dari dalam diri. Dorongan begini akan menolong mengatasi perasaan takut. Orang yang mempunyai dorongan dalam diri yang kuat tidak akan takut menghadapi dugaan.

3. Pengetahuan
Seorang pemimpin sebaik-baiknya mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dalam bidang yang diceburinya. Pengetahuan yang luas boleh membantunya membuat keputusan yang bijak dan pertimbangan yang wajar.

4. Kemampuan untuk merancang
Kemampuan merancang projek pembantu bawahan adalah modal yang penting untuk mendapat pengikut. Keupayaan merancang juga menggambarkan kewibawaan dan daya mengawal pengikut sehingga pengikut dapat menurut arahan kita secara sukarela. Pemimpin yang baik mengutamakan ciri yang baik yang ada dalam diri pengikutnya, tidak berat sebelah dan membuka peluang orang bawahan menyampaikan pendapat dan pandangan.

5. Daya imaginasi
Seorang yang ingin menjadi pemimpin perlu mempunyai daya imaginasi yang positif dan membina. Ia harus mampu menjadi pelopor, penyelidik, pencipta dan jaguh. Daya imaginasi yang baik akan membolehkan seseorang menyelesaikan masalah secara paling baik dan paling efektif. Daya imaginatif dapat dipupuk dengan banyak membaca, mendengar dan menimba pengalaman peribadi yang baru dengan positif tidak menolak idea yang dikemukakan secara terburu-buru walaupun ia kelihatan kurang sesuai ketika itu, tetapi mungkin berguna pada masa hadapan.

6. Kuasa pemutus
Setiap sesuatu keputusan yang diambil itu haruslah berasaskan sumber pengetahuan yang boleh dipercayai. Keputusan perlu dibuat tanpa emosi. Keputusan itu mestilah keputusan yang terbaik dirasakan oleh pemimpin walaupun ada pendapat yang mengatakan keputusan itu kurang baik. Membuat keputusan memerlukan ketegasan, keyakinan dan keberanian dari dalam diri. Proses utama membentuk personaliti pemimpin ialah pengetahuan, kebijaksanaan, keadilan, kemuliaan, keakuan dan terhasillah kepimpinan agung. Pemimpin-pemimpin agung akan menilai sesuatu dalam kehidupannya secara paling agung. Misalnya seorang ahli falsafah agung, Earl Nightingale telah mengemukakan beberapa perkara paling agung dalam kehidupan:

i. Hari paling agung ialah: Hari ini.
ii. Permainan terbaik ialah: Bekerja.
iii. Kekeliruan terbesar ialah: Kehidupan.
iv. Keanehan teragung ialah: Kematian.
v. Pekerjaan terbaik ialah: Pekerjaan yang anda sukai.
vi. Kesilapan terbesar: Putus asa.
vii. Sifat yang paling hina: Keangkuhan.
viii. Keperluan teragung: Akal budi.
ix. Orang yang paling berbahaya: Pendusta atau x. penipu.
x. Bandar terbaik: Tempat di mana anda memperoleh kejayaan.
xi. Ciptaan paling menakutkan: Peperangan.
xii. Orang paling tidak peramah: Pengeluh.
xiii. Guru terbaik: Seseorang yang mendorong semangat ingin belajar untuk anda.
xiv. Kegagalan paling buruk: Jiwa yang kehilangan semangat.
xv. Perkara paling mudah, murah dan bodoh dilakukan ialah: Mencari kesalahan.
xvi. Orang paling bijak: Seseorang yang selalu membuat apa yang difikirkan betul.
xvii. Orang paling menjemukan: Orang yang terus bercakap walaupun sudah menyatakan pendiriannya.
xviii. Teman paling digemari: Seseorang yang tetap menerima anda seadanya.
xix. Perasaan paling keji: Iri hati pada kejayaan orang lain.
xx. Pengalaman paling memuaskan: Menjalankan kewajipan anda terlebih dahulu.
xxi. Tindakan terbaik: Ketenangan fikiran dan adil dalam pertimbangan.
xxii. Keberkatan paling baik: Kesihatan yang baik.
xxiii. Hukum salam teragung: Sebab dan akibat.
xxiv. Perjudian paling besar: Menganggap harapan sebagai kenyataan.
xxv. Perkara paling mesti dimiliki dalam hidup: Rasa diperlukan.
xxvi. Peluang yang terbaik: Ialah yang satu lagi.
xxvii. Kemenangan terbesar: Kemenangan atas diri anda sendiri.
xxviii. Kecacatan terbesar: Mementingkan diri sendiri.
xxix. Kehilangan terbesar: Hilangnya keyakinan pada diri sendiri.
xxx. Kerugian terbesar: Kebolehan dan bakat yang tidak digunakan sepenuhnya.
xxxi. Perkara-perkara teragung: Cinta kepada keluarga, rumah tangga, kawan-kawan, jiran dan tanah air yang memberikan kebebasan.

Kesilapan paling membodohkan:

1. Tidak mahu membetulkan kesalahan yang telah dibuat semalam.
2. Beranggapan semua orang yang telah berjaya mempunyai bakat istimewa.
3. Tidak mempunyai semangat untuk menukar fikiran.
4. Mengharapkan nasibnya berubah.
5. Mengatakan ini tidak boleh dilakukan.
6. Membelanjakan wang untuk perhiasan yang tidak berharga.
7. Memikirkan yang dia boleh hidup tanpa Tuhan.

Kecelakaan paling agung dalam kehidupan:
1. Tidak mempunyai dorongan diri untuk berjaya.
2. Tiada matlamat hidup yang nyata.
3. Sikap dan pemikiran yang negatif.
4. Mempunyai gambaran diri sendiri yang sangat negatif.
5. Takut menghadapi kegagalan dan kritikan.
6. Berserah sepenuhnya kepada takdir.

Kerana dan akibat:

1. Kerana dirimu tidak matang, anda dihina.
2. Kerana dirimu lembut, anda dibakar

Oleh itu, jadilah seperti batu, jadilah intan, sebab orang yang berjuang gigih dan berpegang teguh, alam ini akan bercahaya untuknya. Dan apabila kita sudah sanggup mengambil kepastian dan tidak dipengaruhi oleh angan-angan maka akan dapat mengendalikan fikiran. Sepuluh petua untuk meningkatkan kejayaan:

1. Berusaha untuk mempelajari segala-gala pengetahuan yang baik.
2. Bersedia mendengar dan menerima kebenaran tentang diri anda.
3. Bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya tentang kejayaan dan kegagalan kita.
4. Bersedia bekerja sekurang-kurangnya 60 jam seminggu.
5. Bersedia menghadapi masalah dan mencari penyelesaian.
6. Menolak jalan mudah dan mencari jalan singkat.
7. Tidak terlibat dalam hal-hal yang remeh-temeh atau keji.
8. Berterus-teranglah terhadap perhubungan kita dengan orang lain.
9. Menyerahkan jiwa raga tanpa memikirkan balasannya.
10. Yakin yang tujuan anda benar dan membawa nilai yang besar bagi orang yang menerimanya.

INGATLAH orang yang tahu ialah orang yang tahu apabila dia tahu apabila dia tidak tahu dan…

SEDARLAH kadangkala nasib kita seperti bola, ditendang ke sana, ditendang ke sini. Walau bagaimanapun, bola inilah yang akhirnya ke jaring gol. Anda boleh jika:

1. Jika anda fikir anda telah kalah sebelum berjuang, pastilah anda akan kalah.
2. Jika anda fikir anda tidak berani, memanglah anda seorang pengecut.
3. Jika anda fikir anda mencapai kemenangan tetapi tidak berdaya melakukannya, itu petanda yang anda telah hampir pada kegagalan.
4. Jika anda fikir yang anda akan tewas, sememangnyalah anda akan tewas.
5. Jika anda fikir anda akan diperbudak-budakkan demikianlah akan terjadi.
6. Jika anda berfikiran jauh untuk mencapai kedudukan tinggi, anda harus mempunyai keyakinan diri sebelum mahu mengecap sebarang kejayaan.
7. Perjuangan hidup ini bukan hanya terletak pada kekuatan dan kepantasan sahaja, tetapi pada hakikatnya manusia yang berjaya adalah mereka yang berfikiran `BOLEH’ melakukan apa yang dicita-citakannya – anda sepatutnya begitu.

Ciri-ciri Komunikasi Berjaya Jun 4, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Pengurusan Diri.
add a comment

 Oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Kajian mendapati manusia suka dan mudah terpengaruh oleh kata-kata, percakapan dan perbualan individu-individu yang sudah berjaya. Kejayaan menyebabkan seseorang itu mempunyai kuasa manakala kuasa pula menentukan statusnya dalam masyarakat.
Kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran
menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan-
kesan positif ke atas hubungan sesama manusia, khususnya di antara pemimpin dan individu-individu yang dipimpinnya. Kajian pakar-pakar psikologi dan pakar-pakar komunikasi mendapati kemahiran berkomunikasi memainkan peranan yang sangat penting di dalam kehidupan manusia.

Kajian-kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar komunikasi pula mendapati, individu-individu yang menggunakan bahasa positif dipandang sebagai individu-individu yang menarik. Dalam erti kata yang lain, penggunaan bahasa yang positif menyebabkan seseorang itu dipandang sebagai orang yang lebih tampan dan lebih jelita daripada dirinya yang sebenarnya. Manakala kajian pakar-pakar psikologi mendapati unsur ketampanan dan kejelitaan pula menyebabkan seseorang itu dipandang sebagai orang yang lebih pandai bergaul, lebih pintar dan lebih berbakat daripada keadaannya yang sebenarn. Disebabkan kemahiran berkomunikasi menyebabkan seseorang itu dipandang dengan cara-cara yang positif hasilnya dia mudah disukai orang.

Salah satu tujuan seseorang pemimpin berkomunikasi ialah kerana dia hendak mendorong dan mempengaruhi pemikiran individu-individu lain. Keupayaan seseorang pemimpin untuk melakukan perkara itu adalah faktor yang sangat penting peranannya di dalam mencapai kejayaan dalam semua bidang, baik kejayaan di dalam kerjayanya mahupun di dalam kehidupan peribadi. Sebagai contoh, untuk menjadi ahli politik yang berjaya, seseorang memerlukan keupayaan mempengaruhi para pengundi supaya mengundinya; untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu berupaya mempengaruhi ramai pihak termasuk pegawai-pegawai kerajaan, kakitangan bank, para pelabur dan bakal pelanggan; untuk naik pangkat di tempat kerja seseorang perlu berupaya mempengaruhi mereka yang menilai bakat, potensi dan prestasinya.

Pakar-pakar psikologi bidang komunikasi organisasi banyak mengkaji ciri-ciri pemimpin yang dianggp efektif. Antara mereka ialah W.C. Redding dan juga F. M. Jablin. Kajian-kajian mereka menunjukkan ketua-ketua yang efektif memiliki ciri-ciri berikut:

1. Mereka percaya komunikasi yang betul adalah penting. Mereka seronok bersuara dan bercakap di dalam perbincangan dan mesyuarat. Mereka pandai menerangkan dengan jelas arahan dan dasar-dasar organisasi. Mereka suka dan seronok berbincang dengan orang-orang bawahan.

2. Mereka pandai mendengar dengan empati dan sedia membuka telinga kepada orang-orang bawahan mereka. Mereka sanggup melayan soalan-soalan “bodoh”, mendengar cadangan-cadangan dan komplen-komplen dengan sikap bertimbang rasa.
3. Mereka suka menggunakan teknik-teknik bertanya dan mendorong orang-orang bawahan apabila hendak mengarahkan mereka melakukan sesuatu. Mereka tidak menggunakan teknik menyuruh-nyuruh dan mengarah-arah.
4. Mereka menjaga air muka dan maruah orang bawahan, oleh itu mereka mengkritik secara tertutup.
5. Mereka bersikap terbuka dengan maklumat. Mereka suka memberitahu awal-awal lagi apabila ada perubahan yang akan terjadi. Mereka juga menerangkan alasan-alasan di sebalik semua arahan dan dasar.

Kajian mendapati manusia suka dan mudah terpengaruh oleh kata-kata, percakapan dan perbualan individu-individu yang sudah berjaya. Kejayaan menyebabkan seseorang itu mempunyai kuasa manakala kuasa pula menentukan statusnya dalam masyarakat. Kajian juga mendapati manusia suka berkenalan, bersahabat, bercakap-cakap dan berbual-bual dengan individu-individu yang mempunyai kuasa dan status. Individu-individu yang berjaya adalah juga individu-individu yang popular. Mereka mempunyai banyak kenalan dan sahabat. Mereka juga mempunyai individu-individu yang terikut-ikut gaya dan cara mereka. Dengan cara bercakap-cakap dan berbual-bual, individu-individu yang sudah berjaya dapat dengan mudah mempengaruhi pemikiran individu-individu lain supaya menerima gaya dan cara-caranya melakukan sesuatu serta menyokong idea-idea mereka. Akibatnya, mereka lebih berjaya lagi, sebagai contoh, seorang artis yang berjaya dapat mempengaruhi para peminatnya supaya membeli album barunya hasilnya, dia menjadi lebih berjaya lagi sebagai artis. Seorang usahawan yang sudah berjaya dapat mempengaruhi pemikiran individu-individu lain supaya menanam modal di dalam syarikat barunya, hasilnya beliau dapat mengumpulkan sumber kewangan bagi memulakan operasi syarikat barunya itu akibatnya dia menjadi usahawan yang lebih berjaya lagi.

Seorang ahli politik yang sudah berjaya dapat mempengaruhi pemikiran lebih ramai individu-individu lain supaya menyokong pencalonannya hasilnya dia mendapat lebih banyak undi lagi akibatnya, dia menjadi lebih berjaya lagi di dalam kerjaya politiknya.

Ramai individu mempunyai latar belakang kelulusan akademik yang serupa tetapi, walaupun mereka memiliki kelayakan yang serupa, namun kejayaan mereka dalam bidang kerjaya yang mereka ceburi tidak serupa. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesetengah individu lebih berjaya daripada individu-individu lain yang serupa latar belakang kelulusan akademiknya?

Kajian-kajian pakar psikologi mendapati wujudnya perkaitan yang kuat antara kejayaan yang dicapai oleh seseorang itu dengan ciri-ciri pada gaya bahasa yang mereka gunakan apabila mereka bercakap dan berbual-bual. Mereka mendapati individu-individu yang berjaya bercakap menggunakan ciri-ciri bahasa yang berbeza daripada ciri-ciri bahasa yang digunakan oleh individu-individu yang kurang berjaya ataupun mereka yang gagal. Secara ringkasnya, bahasa percakapan dan perbualan individu-individu yang berjaya tidak serupa dengan bahasa individu yang gagal. Hasil penemuan ini mempunyai implikasi bagi mereka yang masih berusaha untuk berjaya. Disebabkan kejayaan mempunyai daya pengaruh yang tinggi, bagi mereka yang masih belum mencapai kejayaan, mereka perlu membina imej kejayaan pada diri mereka.

Dalam erti kata lain, mereka perlu membuat orang memandang mereka sebagai individu-individu yang berjaya, dengan cara itu sasaran mereka akan berminat bercakap-cakap dan berkenalan dengan mereka. Untuk melukiskan imej individu yang berjaya, salah satu caranya ialah dengan bercakap menggunakan ciri-ciri bahasa individu yang sudah berjaya.

Bahasa ialah salah satu unsur jarak psikologi yang besar pengaruhnya. Jarak psikologi ialah sejauh mana pendengar berasa kenal dan mesra dengan orang yang bercakap kepadanya. Jarak psikologi yang dekat menyebabkan pendengar mudah menyukai orang yang bercakap. Jarak psikologi yang jauh menyebabkan pendengar berasa “jauh,” “asing” dan “tidak kenal” dengan individu yang bercakap dengan mereka dan oleh yang demikian mereka tidak menyukai individu itu sedangkan, manusia mudah terpengaruh oleh kata-kata orang yang mereka sukai.

Bahasa adalah punca utama mengapa jurang jarak psikologi boleh menjadi makin rapat ataupun makin luas. Untuk menghapuskan jarak psikologi itu, seseorang itu perlu menggunakan bahasa yang digunakan oleh individu-individu yang hendak dipengaruhi. Inilah prinsip yang diamalkan oleh pakar-pakar strategi pemasaran artis-artis antarabangsa. Sebelum mereka pergi ke sesuatu negara untuk membuat persembahan, mereka akan belajar bercakap sepatah dua di dalam bahasa tempatan, dan menyanyikan satu lagu tempatan. Dengan demikian jarak psikologi antara mereka dengan peminat tempatan dapat dirapatkan dan mereka akan tambah disukai oleh peminat-peminat mereka walau ke mana mereka pergi membuat pertunjukan. Hasilnya jualan album mereka tambah laris.

Bahasa positif adalah gaya bahasa yang sangat digemari orang, oleh itu gaya ini sangat berpengaruh. Maksudnya, jikalau seseorang itu hendak membuat individu-individu lain suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengannya supaya mereka dapat dipengaruhi, maka gaya bahasa positif dapat membantunya mempengaruhi mereka. Disebabkan individu-individu yang berjaya adalah juga individu-individu yang menggunakan gaya bahasa positif, maka tidak hairanlah apabila percakapan individu-individu yang berjaya dapat mempengaruhi individu lain dengan lebih mudah.

Bahasa adalah seperti kapal yang sarat dengan berbagai muatan. Ia bukan setakat mengandungi makna perkataan-perkataan yang digunakan sebaliknya ia juga memberi tahu berbagai-bagai maklumat berkenaan diri si pengguna bahasa itu. Dengan mendengar bahasa yang digunakannya, orang-orang lain dapat mengetahui banyak maklumat berkenaan peribadi si penutur, sebagai contoh, dia boleh tahu sama ada si penutur mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mempunyai pendidikan yang tinggi ataupun rendah, serta bidang pendidikannya. Orang juga boleh tahu emosi yang sedang dirasakannya waktu itu serta sikapnya, iaitu sama ada dia seorang yang bersikap positif ataupun negatif. Satu lagi maklumat peribadi yang akan dapat diketahui oleh orang-orang lain melalui bahasa iaitu sama ada si penutur seorang yang memiliki estim tinggi ataupun rendah.

Estim ialah perasaan di mana seseorang itu berasa suka dan seronok menjadi dirinya sendiri, iaitu keadaaan dirinya yang sekarang. Apabila seseorang itu sangat seronok menjadi dirinya sendiri, estimnya tinggi tetapi apabila seseorang itu tidak seronok, estimnya rendah. Satu ujian yang mudah untuk mengetahui sama ada estim seseorang itu tinggi ataupun rendah ialah dengan menengok cermin muka. Apabila seseorang itu suka pada apa yang dia nampak dalam cermin itu, iaitu bayangan wajahnya saat itu maka itu tandanya estimnya tinggi.

Pakar-pakar psikologi mengatakan individu-individu yang berjaya adalah individu-individu yang mempunyai estim tinggi manakala, individu-individu yang gagal di dalam kehidupan mereka mempunyai estim yang rendah. Apabila individu-individu yang mempunyai estim tinggi bercakap, bahasa yang mereka gunakan mempunyai ciri-ciri seperti mereka bercakap dengan lebih lancar, tersusun dan tatahabasanya betul. Mereka menggunakan kata-kata daripada jenis yang positif. Mereka menunjukkan komitmen kepada apa yang mereka ucapkan, ertinya mereka akan mengotakan kata-kata mereka.

Individu-individu yang estimnya rendah mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza. Mereka tidak seronok menjadi diri mereka sendiri, mereka hendak menjadi individu lain. Mereka malu dengan keadaan diri mereka oleh itu mereka terdorong meniru-niru dan terikut-ikut orang lain sebagai contoh, mereka cuba meniru bahasa, gaya dan tingkah laku orang-orang lain yang mereka anggap lebih mulia daripada diri mereka sendiri. Individu-individu yang mempunyai estim rendah suka melihat kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Mereka melihat diri mereka tidak sehebat orang-orang lain oleh sebab itu mereka percaya dengan menjadi seperti orang lain, barulah diri mereka akan jadi sehebat orang-orang yang mereka tiru itu, akibatnya mereka yang rendah estim sangat kuat berusaha hendak menjadi seperti orang lain.

Mereka juga menunjukkan sifat di mana mereka tidak yakin kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak yakin bahawa apa-apa yang ada pada diri mereka adalah sebaik apa-apa yang dimiliki oleh orang lain sebagai contoh, mereka percaya bahasa orang lain lebih hebat, begitu juga budaya hidup orang lain lebih baik, akibatnya mereka meniru bahasa dan budaya orang-orang itu. Mereka itu menyangka apabila mereka boleh menunjukkan bahawa mereka pandai bercakap dalam bahasa orang asing, mereka akan jadi sehebat orang asing itu. Begitu juga apabila mereka mengamalkan budaya orang asing, mereka pun akan naik taraf, sama dengan taraf orang asing itu.

Menurut pakar-pakar psikologi, individu-individu yang rendah estim sangat mudah terikut-ikut orang lain disebabkan mereka tidak berani menjadi individu yang berbeza daripada kebanyakan orang lain. Mereka sangat mengambil berat apa orang lain kata tentang diri mereka sebaliknya individu-individu yang tinggi estim tidak suka jadi seperti kebanyakan orang lain. Mereka tidak suka terikut-ikut. Mereka suka berbeza daripada kebanyakan orang malah mereka mahu orang lain yang terikut-ikut mereka.

Hasil kajian pakar-pakar psikologi menunjukkan jelas sekali wujudnya perkaitan kuat antara kejayaan, bahasa dan estim. Salah satu faktor yang menyebabkan individu-individu lain mudah terpengaruh oleh seseorang individu ialah estim yang dipancarkan di dalam bahasa yang digunakannya untuk mempengaruhi individu-individu lain. Estim mempunyai kesan persuasif, oleh itu inidividu-individu yang memiliki estim tinggi juga mempunyai daya persuasif yang tinggi, dan begitu juga sebaliknya. Sumber estim yang paling besar ialah kejayaan, itulah sebabnya manusia mudah terpengaruh dengan cakap individu-individu yang dianggap lambang kejayaan. Manusia mudah menerima idea, cadangan, nasihat, pandangan-pandangan dan teguran individu-individu yang berjaya sebaliknya, kalau pandangan yang serupa, tetapi ia datang dari individu yang tidak berjaya, maka ia tidak mudah diterima.

Menurut pakar-pakar psikologi, manusia mudah suka kepada individu-individu yang bersikap positif di mana perasaan suka itulah yang menyebabkan manusia juga mudah terpengaruh oleh mereka yang bersikap positif. Disebabkan individu-individu yang bersikap positif dapat mempengaruhi individu-individu yang mendengar mereka bercakap, jadi mereka lebih mudah berjaya dalam apa yang mereka lakukan. Inilah faktor yang dapat menerangkan mengapa individu-individu yang berjaya adalah juga individu-individu yang mempunyai estim tinggi dan mereka adalah juga individu-individu menggunakan bahasa positif. Estim, stail bahasa positif dan kejayaan, adalah tiga perkara yang saling kait-mengait, Yang satu menyebabkan yang satu lagi, dan begitulah seterusnya ia berputar-putar dalam lingkaran yang mencipta kejayaan demi kejayaan.

Individu-individu beretim tinggi bercakap dengan lebih fasih, lancar dan teratur. Bahasa mereka tersusun rapi. Mereka berhati-hati apabila memilih perkataan yang digunakan. Intonasi mereka terkawal, dan mereka bercakap pada kadar kelajuan yang sederhana, iaitu tidak terlalu laju ataupun terlalu lambat. Bahasa mereka tidak “patah-patah” dan tidak bercampur-aduk dengan loghat daerah, loghat basahan ataupun bahasa-bahasa asing. Bahasa yang bercampur-aduk menimbulkan kesan negatif kepada imej estim seseorang akibatnya kata-katanya tidak dapat mempengaruhi pemikiran individu-individu yang hendak dipengaruhi. Ayat yang patah-patah dan bahasa campur-aduk menggambarkan si penutur seorang yang tidak yakin dengan apa yang diucapkannya dan tidak yakin kepada perkataan-perkataan dan bahasa yang digunakannya.

Bahasa yang tidak lancar juga memberi gambaran si penutur tidak selesa dengan apa yang dia ucapkan dan ia menggambarkan si penutur tidak mengetahui dengan mendalam perkara itu. Bahasanya itu mencerminkan dia tidak komited dengan idea-idea yang sedang di-sampaikannya. Lebih serius lagi, bahasa yang patah-patah dan bercampur-aduk menunjukkan ia datang daripada pemikiran yang tidak teratur, kelam-kabut, dan memberi gambaran si penutur “belum siap berfikir” tetapi sudah mahu bercakap. Faktor-faktor ini menyebabkan si pemimpin tidak dapat memancarkan karisma yang mungkin ada pada dirinya seandainya dia bercakap dengan gaya positif.

Kemahiran berkomunikasi adalah berdasarkan ilmu pengetahuan oleh itu ia mesti dipelajari, sebagaimana seseorang itu mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan lain. Untuk berkomunikasi secara berkesan, faktor-faktor yang menghalangannya perlu dikenal pasti. Dengan cara mengenal pasti halangan-halangan ini, ia membantu pemimpin berhati-hati dalam berkomunikasi.

Jihad Ekonomi Jun 4, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Cara Hidup, Ekonomi.
add a comment

Oleh Koperasi Belia Islam

Sesungguhnya mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada Jalan Allah dengan harta dan jiwa adalah golongan yang memperolehi kejayaan yang terbesar~ sekaligus menegaskan kayu ukur sesuatu kejayaan. Ramai yang telah merasakan berjaya; namun sesungguhnya mereka tidak berjaya. Mereka tertipu dengan nilai-nilai yang salah. Kerana itu para mussafirin menyimpulkan bahawa ayat-ayat inin menunjukkan betapa jihad dan iman lebih utama di sisi Allah berbanding dengan amal-amal kebajikan lain kerana ia mengorbankan harta dan jiwa demi mendaulatkan ajaran al-Quran.

Seterusnya, ada di antara ummat Islam telah sekian lama berjuang di jalan jihad yang pelbagai seperti jihad ilmu, jihad harta benda dan jihad jiwa raga. Walaupun demikian prioritinya mungkin berubah-ubah dari waktu ke waktu. Dalam konteks Malaysia sekarang, yang dikendaki barangkali bukannya jihad secara bersenjata. Jihad yang lebih utama mungkin jihad yang lain seperti jihad ekonomi, jihad harta benda demi perjuangan agama. Di dalam sirah Rasulullah pun, selain daripada mempetaruhkan jiwa raga, ummat islam turut berhabis-habisan dengan harta benda. Dan itu dilakukan sesudah membuat pilihan yang tepat bahawa mereka mengutamakan iman dan jihad berbanding dengan kenikmatan dan keseronokan. Jadi bila tiba saatnya mereka dipanggil untuk berkorban, mereka tudak lagi keberatan. (selanjutnya…)

Memahami Muamalat Islam Jun 4, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Ekonomi.
add a comment

Oleh Koperasi Belia Islam

Islam adalah cara hidup; dan cara hidup yang ditampilkan adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Kesempurnaan Islam tidak ada tandingannya malah ia mendahului lain-lain agama, kepercayaan, idealisme dan sistem ciptaan manusia. Inilah yang patut menjadi keyakinan kita selaku muslim -mukmin. Rujukan tatacara kehidupan yang amat luas, rencam dan pelbagai sifatnya disandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah,sementara segala permasalahan yang tidak disebut secara terang atau diperselisihkan akan ditentukan secara Ijma’ (disepakati secara majoriti) oleh ulama’ yang muktabar dan Qias. Ulama’ telah memperincikan lima bidang utama dalam menetapkan kaedah hukum iaitu Ibadat, Jinayat (yang juga dikenal sebagai ‘Uqubat), Munakahat dan Mu’amalat. Setiap satu bidang mempunyai fiqhnya yang tersendiri. Mu’amalat adalah merujuk pada segala urusan yang berkaitandengan harta ( mal ). Ia mencakupi segala jenis pertukaran seperti jual-beli dan sewaan, Tabarru’ seperti hibah, waqaf dan wasiat,Pengguguran hak seperti pelepasan hutang, segala jenis persyarikatan, Tauthqat seperti gadaian, jaminan dan hawalah. Demikianlah Islam memperincikan pengurusan harta agar ia menepati kehendak sebenar dan menjamin hak setiap indivudu. Kita perlu memahami bahawa kepatuhan terhadap kaedah fiqh inilah yang akan menentukan matlamat akhir tercapai iaitu ‘keredahaan Allah’. Perlaksanaan yang menepati kehendak syariat akan menghasilkan natijah yang benar seperti mengelak penindasan dan penipuan,disamping membentuk jatidiri seperti jujur, amanah, adil, telus, membantu fakir miskin; maka disinilah keindahan Islam dapat dirasai bersama. Syariatlah yang memandu kita agar tidak tersasar dari sikap tamak, rakus dan haloba, kerana tidak ada jaminan kita mampu mengawasi nafsu yang memang fitrahnya mencari dan mengejar keuntungan semata-mata. Islam menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba, dari hadis Nabi s.a.w.dalam menghuraikan kedudukan halal dan haram baginda menyebut
“Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata dan diantara keduanya ada perkara kesamaran barangsiapa yang memelihara dari segala
kesamaran, sesungguhnya dia memelihara agama dan kehormatannya” (riyawat Bukhari-Muslim).
(selanjutnya…)