jump to navigation

Sengsara Tanggung Teman Lelaki Jun 4, 2007

Posted by MOHD IDZANEY ZAKARIA in Motivasi.
trackback

Saya gadis berumur 25 tahun dan baru bekerja di syarikat swasta. Saya ada kekasih, cuma dia agak berumur biarpun masih bujang. Sekarang ini seolah-olah satu ‘trend’ dalam masyarakat apabila ramai wanita suka berkahwin dengan lelaki berumur. Antara puncanya, lelaki berumur dikatakan matang dan lebih stabil daripada segi kerjaya mahupun kewangan. Bagaimanapun saya bukan ingin mengikut ‘trend’, malah situasi saya juga bertentangan. Saya terpikat dengannya disebabkan kesungguhannya untuk memiliki cinta saya. Dia sanggup menunggu saya lebih kurang lapan tahun dan menolak cinta wanita lain, sedangkan saya tidak pernah memberi apa-apa harapan pada dia.

Masalahnya, saya tidak nampak kesungguhannya untuk memperisterikan saya, walaupun kami ada rancangan ke arah itu. Lebih merunsingkan, dia tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap. Sekarang saya berasakan seolah-olah saya menanggung kehidupan dia dan terpaksa berfikir dua kali sebelum memenuhi kehendak saya apabila dapat gaji kerana takut duit ‘sangkut’ pada hujung bulan.

Apabila saya ceritakan hal ini kepada sepupu, dia menasihati saya fikir masak-masak sebelum menyerah cinta 100 peratus kepada teman lelaki. Sampai bila saya harus menanggung si dia? Dulu, seorang kawan saya pernah mengalami masalah sama dan saya menasihatinya supaya tidak terus ‘melaburkan’ duit pada lelaki. Kini, bila kena pada batang hidung sendiri, saya buntu dan tidak berani berkongsi masalah dengan kawan saya kerana takut ditertawakan.

Saya bingung apakah saya harus meneruskan percintaan ini atau mencari cinta lain. Saya juga terfikir andai saya meneruskan percintaan ini seolah-olah saya memperbodohkan diri. Sanggup mengetepikan kehendak sendiri untuk menanggung kehidupan orang lain. Sanggup berlapar untuk mengenyangkan perut orang lain. Saya bukan wanita mata duitan, tapi wang itu perlu untuk keselesaan hidup kita. Lagipun kita tidak akan bahagia walaupun setiap hari dibelai, disayangi, dihamburkan dengan kata-kata cinta tapi perut kosong, jiwa kacau, fikiran buntu dan hati berbelah bagi.

Bantulah saya Dr. Tuah, saya memerlukan seseorang untuk membuka mata hati ini supaya ia tidak buta dek kerana cinta.

Gadis Tertekan,

Gombak, Kuala Lumpur.

 

 

 

Andaian yang anda buat bahawa seolah-olah memperbodohkan diri sendiri adalah benar dan tepat. Anda tahu dan sedar, hanya anda memerlukan keyakinan dan keberanian untuk berpendirian seperti itu, maka anda lontarkannya di sini untuk meraih sokong. Ya, saya menyokong anda. Tidak salah lagi, ia satu perbuatan yang tidak patut bahkan tidak keterlaluan kalau dikatakan bodoh.

Apalagi kehidupan zaman kini di mana seseorang itu perlu bijak mengurus harta dan ada sumber pendapatan yang menarik, seorang lelaki yang hanya bermodalkan kasih sayang dan cinta bukanlah pilihan terbaik sebab dia tidak ‘pakej’. Seorang perempuan yang sanggup berkorban apa saja untuk lelaki seperti ini sebenarnya adalah seorang yang keliru.

Memanglah agak sukar mendapatkan lelaki yang memiliki segalanya namun sekurang-kurangnya seorang lelaki yang boleh diharap adalah seorang yang ada wawasan dan tidak bergantung hidup pada perempuan.

Anda cerdik kerana ada perasaan seperti itu. Anda juga cerdik kerana mengajukannya kepada orang lain untuk mendapat ketetapan hati. Ramai wanita di luar sana yang sanggup memperhambakan diri kepada teman lelaki mahupun suami sedangkan suaminya itu seorang penganggur, bahkan penagih dadah. Tidak kurang yang sanggup didera semata-mata oleh perasaan sayang dan cinta. Ini semua ‘kartun’ yang tidak patut ada di kalangan kita manusia. Saya ucapkan syabas kepada anda kerana dapat menilai jejak sebelum jauh terlajak.

Adalah lebih baik jika wang itu diberikan kepada ibu bapa, adik beradik ataupun disedekahkan kepada pihak-pihak yang sangat memerlukannya.

Cinta perlu jujur dan cinta yang terbaik adalah cinta yang disulami oleh perjuangan untuk sama-sama membina masa depan yang gemilang.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: